Tangga berbentuk lingkaran itu menghala terus kepada kawasan kawalan teras di tingkat paling atas.
Selepas menaiki beberapa anak tangga, Shi Feng tiba di kawasan koridor yang berliku-liku yang membawa ke kawasan dalam. Ukiran Magis Lama terukir pada dinding kedua-dua belah bahagian kiri dan kanan koridor dan walaupun satu alaf telah berlalu, koridor ini masih berkilauan dek cahaya. Hanya beberapa bahagian pada koridor ini sudah reput, merosakkan litar magis yang dibenam ke dalam dinding dan membuatkan kawasan itu gelap. Nasib baik tidak banyak bahagian koridor yang telah reput, oleh itu Shi Feng masih dapat melihat seluruh koridor yang panjang, sempit dan mengelirukan itu.
Sewaktu Shi Feng menjejakkan kaki pada koridor tersebut, penggera sekali lagi dibunyikan.
"Amaran! Amaran! Penceroboh telah masuk ke Kawasan A kubu pertahanan, Koridor Magis. Tugu Penjaga diaktifkan!"
Shi Feng kemudiannya terdengar satu bunyi meletup yang kuat datangnya dari arah koridor, seperti terdapat satu mesin gergasi sedang menghampiri.
Shi Feng tidak berani untuk datang dekat. Dia segera menggunakan Skrol Kelajuan, meluru dengan laju menerusi Koridor Magis dengan kelajuan yang tinggi.
Selepas melalui beberapa simpang di Koridor Magis, Shi Feng bersemuka dengan sebuah mesin yang memancarkan cahaya merah. Walaupun mesin ini hanya bersaiz sebiji bola sepak, ia terus membunyikan penggera, seperti satu alat bertujuan untuk memandu Tugu Penjaga datang ke sini.
[Pengawal Sentinel] (Raksasa Biasa)
Tahap 10
HP 200/200
Shi Feng dengan segera faham bagaimana dia terlalu mudah untuk dikesan. Pengawal Pemerhati seperti pengesan. Ia mampu mengesan musuh dalam jarak 500 ela dan selepas menemui mereka, ia akan membunyikan penggera. Jarak antara pintu masuk koridor dan tempat ini kira-kira 500 ela, oleh itu Pengawal Pengesan dapat mengesan Shi Feng. Selagi mana Shi Feng mampu menghapuskannya, dia boleh menghentikan bunyi penggera kawasan ini.
Namun, benda ini mempunyai tindak balas yang sangat sensitif. Ia tidak akan membenarkan mana-mana musuh untuk berada berdekatan dalam jarak 30 ela. Dan juga, jika ia diserang sekalipun, ia akan cuba untuk mengundurkan diri selaju yang boleh. Dengan serentak, kelajuannya memanggil rakan seperjuangannya menjadi pantas dan tidak sekali-kali membenarkan musuh untuk menyerangnya sekali lagi. Sangat susah untuk menguruskannya.
"Aku rasa aku tiada peluang lain. Baik aku cuba." Shi Feng menghunuskan kedua-dua pedangnya. Dia sudah pun dapat mendengar ngauman garang daripada Arca Penjaga yang datang dari arah belakang. Berdasarkan kekuatannya, berlawan di kawasan sempit ini hanya akan mengundang maut. Cara untuk dia mengalahkan Arca Penjaga ini hanyalah dengan menghapuskan Pengawal Pengesan tersebut.
Apabila Shi Feng mendekati jarak 30-ela, baru sahaja Pengawal Pengesan itu ingin melarikan diri...
Mata Shi Feng tertumpu pada Pengawal Pengesan, kedua-dua otot tangannya dikeraskan dan dengan menggunakan tenaga dari seluruh badannya, dia melontarkan kedua-dua pedang itu.
Xiu!
Pedang itu melayang tepat mengenai Pengawal Pengesan.
Lontaran Tepat!
Jarak lontaran kemahiran itu cuma 30 ela dan ia boleh menghasilkan 150% daripada kemusnahan senjatanya.
Pengawal Pengesan itu sangat tangkas. Ia dengan laju menggerakkan badannya, terus mengelak Bilah Merah yang terbang melayang ke arahnya. Namun, elakan daripada Pengawal Sentinel itu, secara tidak sengaja, tepat-tepat jatuh ke laluan lemparan pedang Shi Feng yang kedua, Bilah Neraka.
Peng!
Bilah Neraka itu menembusi Pengawal Pengesan, menghasilkan kemusnahan sebanyak -211 mata dan terus membunuhnya.
Sistem: Pengawal PengesanTahap 10 dibunuh. Perbezaan Tahap sebanyak 4. EXP yang diterima meningkat sebanyak 400%. Memperoleh 800 EXP.
Shi Feng mengaktifkan Langkah Angin, kelajuannya sekali lagi meningkat dengan banyak sewaktu dia bergegas untuk mengutip kembali pedang yang tertusuk di atas lantai itu. Dia kemudiannya berlari ke arah pintu keluar Koridor Magis. Tanpa sebarang panduan daripada Pengawal Sentinel, Arca Penjaga itu seperti lalat yang hilang penglihatan. Mereka berlari bertempiaran di seluruh kawasan, langsung tidak dapat mencari Shi Feng.
Lebih sepuluh minit kemudian, selepas menghapuskan lagi tiga Pengawal Pengesan, Shi Feng akhirnya dapat keluar daripada Koridor Magis, tiba di bilik kawalan.
Terdapat satu pendinding di kawasan tengah bilik kawalan. Satu besi sfera berwarna kelabu gelap diletakkan dalam pendinding itu. Besi sfera ini merupakan jantung kepada Kubu Besi dan ia merupakan sumber tenaga kubu ini. Ia dipanggil Jantung Titan.
"Aku tidak pernah terbayang, selepas bertahun-tahun berlalu, masih ada seseorang yang datang ke tempat ini."
Sebelum Shi Feng memeriksa seluruh bilik kawalan itu dengan lebih terperinci, dia terdengar satu bunyi cemuhan datang dari pintu masuk pendinding tersebut. Bunyi ini sangat menakutkan dan tiada manusia yang boleh mengeluarkan bunyi seperti ini. Hanya satu boneka atau pun mayat yang mampu mengeluarkan bunyi yang tiada emosi ini.
"Selamat Datang ke Kubu Besi Barrutia! Untuk menyambut kehadiran kau, aku memutuskan untuk menyuapkan bayi aku dengan darah daging kau! Keluar Anjing Neraka!"
Shi Feng dapat melihat secara kasar satu susuk tubuh seakan manusia dalam pendinding itu. Namun, susuk tubuh itu dilihat sedang menyerap tenaga daripada Jantung Titan, oleh itu ia tidak mempunyai kuasa lebihan untuk bertarung dengan Shi Feng, menyuruh bonekanya melakukan kerja itu.
"Ao! Ao! Ao!" seekor anjing hitam gergasi dan badannya dilitupi dengan api, meluru keluar dari dalam pendinding itu.
[Anjing Neraka](pangkat-Elit)
Tahap 15
HP 6,000/6,000
"Bedebah, aku masuk salah waktu ke?" kening Shi Feng dikedutkan sedikit sewaktu melihat tubuh Anjing Neraka itu. Berdasarkan maklumat dari kehidupan lampaunya, tidak ada satu bentuk kehidupan mahupun raksasa di tempat ini. Orang yang membuat Misi ini mampu mengambil dengan selamat Jantung Titan itu. Oleh itu, kenapa, sewaktu tiba gilirannya menjalankan Misi ini, satu karakter tersebut muncul di sini, cuba mencuri tenaga daripada Jantung Titan.
Namun, Shi Feng turut membayangkan kemungkinan yang berbeza.
Karakter misteri ini mencuri tenaga daripada Jantung Titan dahulu. Sementara, pemain yang datang ke sini hanya dapat mengambil Jantung Titan yang telah kosong. Pada masa yang sama, Shi Feng secara tidak sengaja bertemu dengan pencuri tenaga ini. Namun, malang sekali bagi Shi Feng, dia tidak mampu mengalahkan haiwan suruhan karakter misteri ini, belum lagi diri karakter itu sendiri.
"Disebabkan kau mahu berlawan, silakan!" Shi Feng menghunus pedangnya, tumpuannya mengunci pada Anjing Neraka yang mula mendekatinya perlahan-lahan.
Sewaktu jarak Anjing Neraka dengan dia semakin dekat, Shi Feng dapat merasakan suasana sekelilingnya menjadi sangat panas, menyebabkan mulutnya mula kering. Shi Feng terfikir untuk minum Minuman Sejuk bagi menghilangkan dahaga, tetapi dia ketika ini tidak boleh cuai. Dia akan memperlihatkan kelemahannya sebaik sahaja dia bergerak. Hal ini disebabkan kepintaran raksasa Elit Tahap 15, Anjing Neraka, sangat tinggi. Inilah sebab mengapa Anjing Neraka itu boleh berjalan ke arahnya dengan selamba.
Anjing Neraka itu tahu masa yang paling sesuai untuk mula menyerang. Jikalau Shi Feng memperlihatkan kelemahannya, ia akan terus menggigit Shi Feng sekuat hati, tidak melepaskan Shi Feng sampai dia mati.
Pertembungan antara mereka berdua, walau apapun yang dikatakan sekarang, Anjing Neraka itu masih berkuasa. Sudah tentu, ia tidak akan menunggu lama. Kakinya terus menekan lantai, melompat ke udara lalu bertukar menjadi bebola api. Ia kemudiannya membuka mulutnya yang berapi.
Shi Feng berguling ke sisi, mengelak sambaran Anjing Neraka itu tadi.
Namun, sejurus sahaja Anjing Neraka itu mendarat, kuku berapinya mencakar secara melintang.
Shi Feng sudah lama menanti saat ini, jadi dia menggunakan kedua-dua pedangnya untuk Tangkis.
Peng!
Walaupun Shi Feng tidak menerima sebarang kemusnahan, namun seluruh badannya tercampak jauh.
Anjing Neraka ini terus membuka luas mulutnya, meludahkan api yang panas terik. Api itu membaluti seluruh badan Shi Feng, tidak membenarkannya untuk melepaskan diri.
Shi Feng mengetapkan giginya. Dia menggunakan Serangan Bayangan disaat berada di ambang maut, kemudian dia bertukar tempat dengan penduanya di tengah-tengah udara.
Pendua Shi Feng terus ditenggelami api yang membara itu, terus menukarkannya menjadi debu. Sementara itu, Pemberitahuan Sistem menunjukkan kemusnahan sehingga -3,000 mata. Sekiranya Shi Feng terkena serangan ini dengan HP yang penuh dan seluruh Perisai Nyawa digunakan, dia masih tidak mampu bertahan dengan serangan itu.
Shi Feng dapat merasakan betapa kuatnya Anjing Neraka ini. Kemusnahan seperti itu memang sesuatu yang raksasa Elit Tahap 15 boleh hasilkan. Kekuatannya ditingkatkan oleh Jalan Cerita Misi. Berdasarkan pengalamannya, Shi Feng menganggarkan tahap sebenar Anjing Neraka melebihi Tahap 30 dan ia sepatutnya Bos berpangkat Ketua.
Jika haiwan suruhan sudah kuat seperti ini, bagaimana pula dengan tuannya?
Melihat cakaran berapi Anjing Neraka yang hampir menyinggah ke badannya, Shi Feng menggunakan Pengikat Neraka. Walau sekuat mana pun Anjing Neraka, ia masih akan diikat selama 3 saat. Berikutan itu, Shi Feng bergegas ke arah pendinding di tengah-tengah bilik itu. Kini, pilihan terbaik Shi Feng ialah merampas Jantung Titan dan beredar secepat mungkin.
Namun, baru sahaja dia melangkah masuk ke dalam pendinding, Shi Feng terus terkejut melihat identiti sebenar orang misteri itu.
"Badut Kegelapan!" Shi Feng segera dapat mengenal pasti identiti karakter misteri ini. Jantungnya berdegup kencang, "Kenapa raksasa bangsat ini di sini?"