Livianna menyisir rapi rambutnya. Punggung dilabuhkan di birai katil saat dia mendengar pertelingkahan kecil di antara kedua ibu bapanya. Keluhan dilepaskan.
Saat kekuatannya sudah kembali, dia bangkit berdiri mencapai beg sekolahnya. Dia memerhati dirinya melalui pantulan cermin untuk memastikan penampilannya kelihatan rapi.
Langkahnya diatur keluar dari dalam bilik tidurnya. Livianna dapat merasakan suasana tegang di meja makan. Encik Harvey dan Puan Kate sejak tadi hanya menayang wajah serius.
Manakala wajah Kirana, adik tirinya tidak pula kelihatan di mana-mana. Tanpa suara, Livianna datang menghampiri meja makan dan melabuhkan duduk di salah sebuah kerusi yang kosong.
Wajahnya juga tidak diangkat kerana tidak mahu bertentangan mata dengan kedua orang tuanya itu. Sekeping roti dicapai dan digigit. Kopi panas dituang ke dalam cawan dan disisip sedikit. Semuanya dilakukan dengan pantas kerana dia tidak betah lagi untuk berlama-lama di situ.
"Anna pergi dulu," pamit Livianna lalu terus saja bangkit berdiri. Wajah kedua orang tuanya langsung tidak dipandang walaupun hanya sekadar sekilas.
Nafas lega dilepaskan apabila dia dapat menghirup udara segar. Dia menyumbat kedua belah telinganya dengan earphone dan membuka lagu.
Mulutnya menggumam kecil mengikut irama lagu yang dimainkannya. Livianna mengatur langkahnya menuju ke perhentian bas yang terletak tidak jauh dari keberadaan rumahnya.
Sementara menunggu ketibaan bas yang sering dinaikinya untuk ke sekolah, dia mengambil tempat di bahagian menunggu. Kepala ditoleh ke kanan saat seseorang berdiri tepinya.
"Alex," bisik hatinya perlahan. Livianna sembunyi senyum apabila melihat seorang jejaka yang memakai uniform sekolah yang sama persis dengannya. Jejaka itu kelihatan begitu segak di dalam sepersalinan sekolah itu.
Alex Sebastian merupakan lelaki yang disukainya sekian lamanya. Cuma dia masih tidak ada keberanian lagi untuk menegur lelaki itu. Livianna lebih selesa begini. Sekadar memerhati dan mengagumi lelaki itu dari jauh. Itu sudah cukup memadai buatnya.
Salah satu tempat duduk di dalam bas itu menjadi pilihan Livianna. Pandangan di buang jauh ke luar tingkap. Livianna tersentak saat ada yang menyentuh bahunya beberapa kali dengan menggunakan jari telunjuk.
Terpaku Livianna dibuatnya saat melihat gerangan tersebut merupakan Alex. Sebelah earphone miliknya ditarik daripada menyumbat telinganya.
"Ya?" Livianna bertanya sedikit gugup. Ini merupakan pertama kalinya dia mereka berdua bertegur sapa. Ini membuatkan Livianna merasakan sedikit gugup.
"Boleh aku duduk sini? Tempat duduk dah penuh. Cuma sebelah kau saja yang masih kosong. Can i?" soal Alex meminta izin.
Mata Livianna meliar memandang sekeliling bas. Benar apa yang diperkatakan Alex. Semua tempat duduk sudah penuh melainkan di sebelahnya saja yang masih kosong.
"Duduklah," Livianna memberikan keizinan. Beg sekolahnya yang diletakkan di atas kerusi itu diambilnya dan dipeluk. Dia memberikan ruang buat lelaki itu untuk mengambil tempat.
Jantung Livianna berdegup laju saat Alex duduk di sebelahnya. Haruman maskulin lelaki itu menyapa deria baunya. Bertambah gugup dia dibuatnya.
"Kita dari sekolah yang sama?" soal Alex tiba-tiba. Lantas Livianna menoleh memandang lelaki itu. Lambat-lambat dia menganggukan kepalanya.
"Ya."
Alex tersenyum senang. Tangan dihulur ingin bersalaman dengan Livianna. Lambat-lambat Livianna menyambut huluran tersebut.
"Alex Sebastian. Kelas 12-1." ujar Alex memperkenalkan dirinya.
"Livianna Harvey. Kelas 12-3."
Senyuman Alex kian melebar. Tangannya dan Livianna yang masih bertautan digoyangkan sedikit. Kemudian, dia melepaskan tautannya.
Perlahan-lahan Livianna menjatuhkan tangannya ke atas riba. Direnung tangannya yang baru digenggam Alex beberapa saat yang lalu. Dia menahan senyuman daripada terbit pada dua ulas bibirnya.
"Aku perasan yang kita selalu naik bas yang sama. Cuma tak pernah bertegur saja." kata Alex cuba membuka topik perbualan.
Livianna menganggukan kepalanya bersetuju dengan pernyataan Alex itu. Sudah lama mereka menaiki pengangkutan yang sama ke sekolah tetapi tidak pernah sekalipun mereka bertegur-sapa.
"Dah sampai," nyata Livianna saat bas yang mereka naiki itu berhenti di perhentian bas berhampiran dengan sekolah.
Pelajad-pelajar sekolah mulai turun seorang demi seorang. Livianna mencabut earphone yang disumbat ke telinganya. Lagu dimatikan lalu disimpan ke dalam poket blazernya.
"Anna," panggil Alex dari arah belakang.
Livianna memberhentikan langkahnya lalu berpaling ke belakang menghadap Alex. Dia terpegun saat wajah Alex disimbahi cahaya matahari pagi bersama senyuman lebar. Benar-benar memukau pandangannya.
"Jom jalan sekali." ajak Alex dengan begitu ramah. Livianna tidak sampai hati ingin menolak. Apatah lagi bukan selalu dia mendapat peluang ini. Kepala diangguk sebagai tanda bersetuju.
Mereka berdua berjalan beriringan. Livianna dapat merasakan bahawa hanya dia seorang yang merasakan gugup di sini. Wajah Alex pula kelihatan begitu tenang sekali.
"Anna!"
Livianna menoleh ke arah punca suara. Dia tersenyum lebar saat suara tersebut merupakan milik kawan rapatnya, Hasley. Hasley berlari anak menuju ke arahnya lalu lengannya dipeluk manja oleh gadis itu.
"Good morning!" ucap Hasley dengan begitu ceria. Livianna sekadar tersenyum.
"Eh? Hai!" tegur Hasley apabila dia baru perasan dengan kehadiran Alex di sisi Livianna itu. Tangan dihulur ke arah Alex. Livianna pula sekadar memerhati.
"Aku Hasley. Kawan rapat Anna. Kau? Kawan Anna juga ke?"
Alex tersenyum senang. Huluran tangan bersambut.
"Alex. Mungkin kut. Baru saja kenal tadi."
Hasley tergelak kecil lalu menganggukan kepalanya beberapa kali. Dia berbalas senyuman dengan Alex.
Livianna yang sekadar menjadi pemerhati mula merasakan cemburu. Bagaimana Hasley boleh semudah itu ingin berkenalan? Dia pun mengambil masa yang lama untuk membuka mulut. Dia jadi cemburu dengan sikap ramah Hasley.
"Jom, masuk kelas." bisik Livianna perlahan. Dia merasakan tidak senang melihat kemesraan Hasley dan Alex itu. Hasley mengangguk setuju dengan ajakan Livianna itu.
"Kita orang masuk kelas dulu. Kalau free, kita boleh makan bersama-sama lain kali. Okey, Alex?" ujar Hasley dengan ceria. Alex tergelak kecil.
"Okey. Boleh saja."
"Bye, Alex!"